Building Surveyor Group

Juruukur Bangunan-Laksanakan Misi dan Realisasikan Visi Untuk Masa Depan

Tiga sifat buruk punca azab, malapetaka

Posted by BS Group MOD di Januari 12, 2007

Berita Harian

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

SETIAP Muslim wajib meyakini rahmat dan azab yang mewarnai hidup manusia adalah datang daripada Allah. Allah saja yang Maha Mengetahui bila dan di mana ia akan dilimpahkan dan ditimpa pada seseorang mahupun pada sesebuah bangsa.

Allah menegaskan bahawa kebanyakan rahmat dan azab Ilahi adalah berpunca daripada perilaku manusia sendiri. Kita wajib meyakini bahawa Allah adalah zat yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, maka amat mustahil bagi Allah berlaku zalim terhadap manusia dan sekalian makhluk di muka bumi ini. Hal ini kerana rahmat Allah dan keampunan-Nya lebih luas daripada azab dan kemurkaan-Nya.

Dalam hal ini, Allah berfirman bermaksud: “Tidakkah mereka berjalan dan mengembara di muka bumi, serta memerhatikan bagaimana kesudahan orang yang terdahulu daripada mereka? Orang itu lebih kuat daripada mereka, dan mereka meneroka bumi serta memakmurkan lebih daripada kemakmuran yang mereka lakukan, dan orang itu didatangi oleh Rasul-Nya dengan membawa keterangan nyata. Dengan yang demikian, Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri. (Surah al-Rum, ayat 9).

Perlu diinsafi keimanan dan ketakwaan yang diterjemahkan dalam konteks kehidupan realiti sama ada dalam bentuk kesalihan individu mahupun kesalihan sosial adalah penyumbang utama turun rahmat dan keberkatan Ilahi kepada umat manusia.

Sebaliknya, kekufuran, maksiat dan pendustaan terhadap Allah dan juga sesama manusia pula adalah punca utama turun azab dan petaka menimpa manusia. Cuba perhatikan dengan penuh teliti maksud firman Allah bermaksud: Dan Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpa mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka usahakan.”

Jelas di sini bahawa Allah menegaskan rahmat-Nya dan azab-Nya banyak bergantung pada nilai keimanan dan juga nilai kekufuran yang wujud dalam sesebuah masyarakat. Iman ialah pegangan iktikad yang mutlak (bersungguh-sungguh dan yakin) bahawa Allah adalah Pemilik, Pencipta dan Tuhan sekalian alam dan hanya Dia yang berhak disembah, manakala kufur pula ialah menolak kebenaran Islam selepas menganuti. Dalam erti kata lain, kufur bermaksud keluar dan menyeleweng daripada landasan iman. Dengan ini, iman dan kufur adalah dua perkara yang berlawanan.

Ia bererti apabila seseorang mengucapkan dua kalimah syahadah bermakna dia mengisytiharkan dirinya beriman kepada Allah dengan tunduk dan patuh terhadap segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Pada masa sama, seseorang Muslim juga wajib memelihara diri daripada melakukan sesuatu yang menyebabkannya kufur kepada Allah.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Asakir, Rasulullah pernah menyatakan bahawa punca petaka dan azab itu ada tiga iaitu; takbur, hasad dengki dan tamak.

Sifat takbur dan sombong boleh menyebabkan seseorang atau sesebuah bangsa itu lupa diri sehingga dia tidak pernah menyedari akan berlakunya kesilapan, kekeliruan, kesalahan mahupun kekurangan.

Oleh sebab itu, sifat takbur itu akan menghalangnya daripada mengambil peringatan dan juga nasihat daripada pelbagai musibah, fenomena dan masalah yang melanda. Hal ini kerana hati mereka sudah pun tertutup rapat dan sudah tentu mereka begitu sukar untuk menerima sebarang nasihat mahupun peringatan.

Hasad dengki pula adalah penyakit tidak senang kepada orang lain yang memperoleh pelbagai nikmat anugerah Ilahi berbanding dengannya, maka dia mempergunakan segala macam helah untuk menghalang atau menghapuskan nikmat tersebut daripada musuhnya.

Natijahnya, muncul bibit permusuhan dan dendam kesumat yang tidak berkesudahan di antara sesama manusia. Manakala sifat tamak pula akan menumbuhkan sifat egoistik dan materialistik. Jika sifat tersebut ada pada diri seseorang atau sesebuah bangsa, maka dia akan menjadi hamba dunia yang bersifat fana ini.

Jika ketiga-tiga sifat keji ini dibiarkan membarah dalam diri seseorang dan juga sesebuah bangsa, dia akan menghalalkan semua cara dan jalan demi kehendak hawa nafsunya. Akibatnya, azab Allah dan malapetaka akan menimpa kepada umat itu kerana mereka menderhaka terhadap Allah. Malah rahmat Ilahi dan keberkatan-Nya amat jauh dan semakin sulit sekali untuk digapai dan dijejaki.

Sumber – Berita Harian, 12 January 2007

Satu Respons to “Tiga sifat buruk punca azab, malapetaka”

  1. Studio Glamour Modeling

    hey good stuff

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: