Building Surveyor Group

Juruukur Bangunan-Laksanakan Misi dan Realisasikan Visi Untuk Masa Depan

Kebolehan juruukur bangunan tidak dimanfaat

Posted by BS Group MOD di Jun 11, 2007

Kebolehan juruukur bangunan tidak dimanfaat
Oleh Ahmad Fauzi Md Sood

SELEPAS hampir 50 tahun negara merdeka, kita seolah-olah baru belajar dan mengenali proses penyelenggaraan bangunan. Itupun selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hampir hilang suara memperkatakan mengenai perlunya penyelenggaraan menerusi media.

Ada ketikanya sejarah silam tidak cukup dijadikan iktibar mengenai pentingnya penyelenggaraan. Contoh yang jelas dan mudah diingati ialah tumbangnya satu blok bangunan Highlands Tower di pinggir ibu negara dan runtuhnya Jeti Sultan Abdul Halim di Butterworth.

Ketika itu setiap lapisan masyarakat meratapi peristiwa hitam berkenaan dengan penuh rasa sedih dan simpati. Namun masa berlalu, kita seakan-akan terlupa peristiwa silam sehinggalah berlaku kebocoran di dewan Jabatan Imigresen, di Putrajaya ditambah pula kejadian siling runtuh di bangunan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, juga di Putrajaya.

Kemudian kebocoran di bangunan Parlimen di ibu negara dan kejadian siling roboh dan bocor di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Syukurlah tidak ada yang tercedera mahupun terkorban dalam siri kejadian berkenaan.

Peristiwa itu sebenarnya menyingkap lebih banyak perkara dan kelemahan dari segi amalan dan sistem sedia ada dalam pengurusan penyelenggaraan yang dipraktikkan sejak dulu di negara ini. Mungkin ada banyak lagi kejadian kecacatan bangunan membabitkan bangunan awam lain yang tidak dilaporkan.

Persoalannya, siapa sebenarnya layak memikul tanggungjawab menguruskan kerja penyelenggaraan ini. Kelayakan diperlukan sudah semestinya mencakupi pengetahuan dalam bidang sains bangunan iaitu seni bina, reka bentuk struktur, elektrik, mekanikal, pengukuran, undang-undang dan bidang lain berkaitan keperluan dalam proses pembinaan bangunan.

Jika kita lihat di negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Hong Kong dan beberapa negara dalam Kesatuan Eropah (EU), profesion juruukur bangunan menepati kriteria yang disebutkan itu. Profesion itu sudah lama diiktiraf dan memainkan peranan penting dalam menguruskan hal berkaitan pengurusan bangunan, laporan keadaan bangunan, kawalan pembinaan bangunan dan penyelenggaraan bagi melindungi hak pembeli atau pemilik bangunan serta pengguna.

Secara umumnya, ramai di kalangan kita mungkin tidak mengetahui profesion juruukur bangunan sudah lama diiktiraf kepentingannya menerusi Akta Juru Ukur 1967. Namun, peranan serta kepentingannya masih dipinggirkan. Sungguhpun begitu nasibnya, profesion ini tetap aktif memainkan peranan di bawah payung Pertubuhan Juru Ukur Malaysia (ISM).

Sehingga kini, hampir 1,000 graduan dilahirkan menerusi Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Malaya (UM) sejak 12 tahun lalu. Silibus pendidikan Juru Ukur Bangunan di negara ini diadaptasi sepenuhnya daripada ‘Royal Institute of Surveyors’ (RICS), United Kingdom di samping mengambil kira aspek perundangan dan keadaan cuaca serta bentuk muka bumi setempat.

Selain ISM, RICS, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga mengiktiraf kepentingan profesion ini menerusi skim jawatan Juruukur Bangunan (Gred J41) dan Penolong Juruukur Bangunan (J29) di bawah Sistem Saraan Malaysia.

Juruukur bangunan ini sebenarnya dilatih dalam pelbagai disiplin sains bangunan untuk memenuhi pasaran kerja pelbagai sektor yang menjurus kepada bidang tugas serta kepakaran berikut:
• Memeriksa dan menyemak kelulusan pelan bangunan selaras keperluan perundangan di Malaysia.
• Melaksanakan kerja pemeriksaan keadaan bangunan menerusi pendekatan saintifik (patologi) dalam menentukan punca dan kesan kerosakan bangunan, mencadangkan kerja pembaikan yang sesuai berserta anggaran kos terbabit serta penyediaan dokumen kontrak untuk kerja pembaikan, kerja penyelenggaraan dan kerja pembaharuan semula (refurbishment) dan penyediaan laporan kerosakan bangunan.
• Berpengetahuan dalam penyelenggaraan bangunan, mendiognosis dan memprognosis kegagalan bangunan dan pembaikannya.
• Penyediaan lukisan terukur sesebuah bangunan.
• Membuat penilaian ke atas kerosakan yang berlaku serta menyediakan kos pembaikan bagi tujuan menginsurans.
• Melaksanakan kerja mengukur bangunan dan mengesyorkan perancangan kerja penyelenggaraan, pengubahsuaian, pengekalan dan membaikpulih bangunan.
• Melaksanakan kerja mengaudit bangunan dan membuat penilaian terhadap prestasi bangunan, tahap kesihatan dalam bangunan dan keadaan keselamatan bangunan selepas penghuni menduduki bangunan berkenaan.

Malangnya tidak ada pihak mengambil berat mengenai kepentingan peranan juruukur bangunan dalam menguruskan hal berkaitan penyelenggaraan. Kenyataan ini terbukti kerana sampai sekarang belum wujud jawatan berkenaan di mana-mana jabatan di bawah Kementerian Kerja Raya mahupun Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, melainkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Lembah Klang dan beberapa agensi lain.

Keadaan ini cukup pelik kerana pihak berkenaan seolah-olah tidak mahu memahami sejarah atau tidak mahu mengambil iktibar atas apa yang berlaku bagi mengubah keadaan.

Kesukaran pegawai juruukur bangunan untuk bersama-sama memainkan peranan dalam kerja penyelenggaraan di negara ini sebenarnya sensitif untuk dibincangkan. Kita percaya harapan tetap ada di bawah kepemimpinan Perdana Menteri untuk memartabatkan profesion juruukur bangunan.

*Penulis adalah Perancang Projek Pelebaran Jambatan Pulau Pinang

http://www.bharian.com.my – 25.05.2007

2 Respons to “Kebolehan juruukur bangunan tidak dimanfaat”

  1. listener said

    kejadian highland towers runtuh tiada kena mengena dengan isu penyelenggaraan. runtuhan tersebut berlaku akibat kegagalan pihak jurutera perunding dalam memberi pertimbangan aspek kewujudan air bawah tanah.

  2. secret said

    juruukur bangunan sebenarnya bukan sekadar menyelenggara selepas pembinaan, tetapi juga meliputi aspek sebelum pembinaan, dan semasa pembinaan. jadi, jika juruukur bangunan ada ketika pembinaan highland towers, kemungkinan juruukur bangunan boleh mengesan kewujudan air bawah tanah.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: